sujud sahwi


Sujud syawi adalah nama bagi ‘dua sujud’ yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat disebabkan terlupa. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Risalah Sujud Syahwi, Majalah as-Sunnah, Edisi 12/VII/1424H/2004M, m.s. 41)

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum atau sesudah salam oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua-dua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jld. 2, m.s. 98)

Perlaksanaan sujud sahwi adalah atas beberapa sebab seperti berikut:
------

1 – Penambahan gerakan (al-Ziyadah). Misalnya seseorang menambah jumlah rukuk, sujud, berdiri atau duduknya.

2 – Pengurangan (Naqs). Misalnya seseorang kurang dalam melaksanakan rukun atau hal yang wajib dalam solat.

3 – Mengalami keraguan (syak). Misalnya dia ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat samaada tiga atau empat. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, m.s. 382)

Sujud sahwi hanya disyariatkan ke atas kekurangan atau penambahan yang berlaku di dalam solat secara tidak sengaja.

Jika solat seseorang terlebih atau terkurang, maka hendaklah dia sujud dua kali. (Sahih Muslim, Hadis no.: 572)

------
Bacaan Dalam Sujud Sahwi:
------

Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah s.a.w. berkaitan sujud syahwi, ternyata Baginda s.a.w. tidak pernah menunjukkan (mengajarkan) bacaan khusus yang pelu dibaca ketika sujud (syahwi) ini. Maka, bacaan-nya adalah sama sepertimana bacaan di dalam sujud solat seperti biasa.

Namun, di dalam masyarakat kita mereka selalunya mengamalkan bacaan seperti ini:

“Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” yang membawa maksud, “Maha suci Tuhan yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa”.

Sebenarnya, bacaan ini bukanlah dari sunnah Nabi s.a.w. dan tidak pula pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh ulama salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat.

Malahan menurut Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry rahimahullah:

Tidak pernah diriwayatkan sesuatu doa yang khusus untuk sujud sahwi daripada Rasulullah s.a.w. Doa yang dibacanya adalah sama seperti doa yang dibaca ketika sujud biasa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bacaan saat sujud syahwi adalah “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” adalah tidak benar kerana ianya tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w. mahupun para sahabatnya. Tiada dalil yang yang tsabit berasal dari sunnah yang menunjukkan bacaan ini. Doa itu sebenarnya adalah doa yang diperolehi dari mimpi sebahagian kaum sufi. Oleh kerana itulah, jangan mengerjakan doa tersebut. Ambillah urusan agamamu dari kitab-kitab hadis yang sahih. (Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry, Bid’ah-Bid’ah Yang dianggap Sunnah (edisi terjemahan oleh Ahmad Munir awood Badjeber & Sulaiman, Qisthi Press, Jakarta, 2004), m.s. 76-77)

Dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut katanya: “Aku tidak pernah menemui asal usul (sanad) bacaan ini.”

Imam Nawawi r.h. berkata:

Sujud sahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu. (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72)

Maka sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat (tidak benat). (Sahih Muslim, Hadis no.: 867)

------
Bacaan Ketika Duduk Di Antara Dua Sujud
------

Bacaan yang dibaca di antara 2 sujud sahwi menurut Syeikh Ibn Utsaimin Rahimahullah adalah:-


رب اغفر لي

"Rabbhig firli" - Ya Allah ampunkan dosaku. [al-Sharh al-Mumthi', 1/646, Dar al-Ansar, 2003]

0 comments: